Thursday, June 5, 2008
NILAI HIDUP
NILAI HIDUP
RaizulSetelah 50 tahun Negara kita merdeka, pelbagai perubahan telah kita alami, sama ada dari fizikal, mental dan sikap bangsa kita.Perubahan-perubahan yang wujud di sekeliling kita amat menonjol dalam beberapa dekad kebelakangan ini terutamanya pembangunan fizikal negara. Kita juga telah diklasifikasikan sebagai negara membangun yang paling maju. Kalau dilihat dari aspek keseluruhan negara kita telah mempunyai kemudahan-kemudahan infrastruktur negara maju seperti kemudahan pengangkutan yang baik, prasarana pendidikan, dan lain-lain lagi. Tetapi adakah dengan prasarana-prasarana tersebut semata-mata akan membantu bangsa kita menjadi bangsa yang maju dari maksud WAWASAN 2020.
Kemelut besar yang melanda bangsa Malaysia pada masa kini ialah budaya dan nilai hidup. Budaya dan nilai hidup terbentuk sebahagian besarnya daripada didikan ibu bapa semasa kecil dan semasa belum ke Sekolah. Namun selepas bersekolah ibu bapa juga wajar memberi nilai-nilai murni kepada anak-anaknya sehingga anak tersebut mampu berfikiran rasional dan matang. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah, apabila ibu bapa tidak mempunyai budaya dan nilai hidup yang baik dan ini sudah tentu mereka tidak dapat mendidik anak mereka dengan nilai yang sempurna.
Sebenarnya ramai ibu bapa sekarang tidak memiliki nilai hidup yang baik dan tidak berasa bertanggungjawab terhadap didikan anak-anak, sehingga wujud pelbagai gejala negatif seperti vandalisme, samseng, mat rempit, bohsia, bohjan dan sebagainya. Kenyataan saya ini semestinya akan disanggah oleh segelintir pihak dan saya juga tidak nafikan bahawa majority ibu bapa ialah baik dan tahu tanggungjawab tetapi terdapat segeleintir kecil yang telah meletakkan setitik nila di dalam belanga yang penuh berisi susu. Akibat segelintir inilah telah wujud pelbagai fenomena gejala social yang mengakibatkan risiko kepada masyarakat lain. Seperti kejadian ragut, pecah rumah, rompak, peras ugut, along dan sebagainya.
Sekali lagi ingin saya tegaskan bahawa majority anak-anak kita di Sekolah telah diterapkan dengan nilai-nilai yang baik, tahu membezakan antara yang baik dan salah dan kerana itu mereka berjaya mengelak daripada perbuatan yang tidak berakhlak atau yang ditegah. Dan golongan inilah yang akan menjadi harapan bangsa untuk memimpin Negara pada masa akan datang.
Tetapi kini kita lihat ramai anak-anak terdedah dengan budaya-budaya negatif. Kenapakah ini berlaku? Apakah tekanan yang diberi semasa mendidik anak. Apakah tekanan yang cukup diberi kepada pembentukan peribadi yang mulia, kepada perbezaan di antara kebaikan dan keburukan, akan apa yang ditegah oleh agama dan adat resam
Sesungguhnya mereka yang mengabaikan tugas pendidikan ini, mereka yang sebaliknya mengajar supaya bermusuh dan membenci sesama manusia, mereka ini tidak menyemaikan nilai-nilai islam yang sebenar, nilai-nilai yang semuanya mulia, mereka ini mengkhianati agama dan bangsa.
Saya tidak syak bahawa jika ibu bapa menunjukan teladan yang baik dan pendidik menjalankan tanggungjawab mereka secara ikhlas, maka banyak gejala social di kalangan pelajar dapat dielakkan daripada berlaku.
Kita tidak nafïkan wujudnya faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kerosakan akhlak pelajar kita. Gambar-gambar keganasan dan lucah yang didapati melalui telivisyen dan internet turut menyumbang kepada keruntuhan akhlak. Tetapi ini tidak menjawab soalan kenapa lebih ramai pelajar terutamanya melayu terjebak dalan gejala sosial. Dalam perkara ini kita harus ikhlas dan memperkatakan yang benar. Hanya dengan mengetahui sebab yang sebenar barulah dapat kita menyelesaikannya.
Kita lihat media-media tempatan pada hari ini sudah tidak memainkan peranan yang sebaiknya dan tidak lagi menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat. Segala jenis berita terutamanya yang akan melariskan jualan mereka, akan mereka paparkan. Mereka tidak lagi memikirkan tentang sensitivity masyarakat dan keperluan untuk kebaikan masyarakat. Isu hiburan dan seks telah menjadi topic yang sangat penting dalam melariskan akhbar-akhbar mereka. Berbanding isu meningkat nasionalisme, pendidikan.
Ingin saya memetik ucapan Pengarah Institut Kefahaman Islam Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas bahawa, Media pada hari ini lebih mementingkan kebebasan berakhbar berbanding memikirkan tentang tanggungjawab mereka kepada masyarakat. Perkara inilah antaranya yang perlu kita renungi, supaya kita sebagai pemegang amanah Allah perlu memantau isu-isu semasa semoga anak-anak kita tidak mengikut arus yang tidak betul.
Seperkara yang ingin saya utarakan pada hari ini ialah kepercayaan masyarakat ini kepada perkara-perkara yang tahyul dan sebagainya. Kita lebih selesa berbincang, berdialog perkara-perkara diluar jangkaan kita seperti hantu, jin, polong, hantu raya dan macam-macam lagi. Kita mungkin kurang berminat dengan perbincangan isu ekonomi, politik, sains dan sebagainya. Kurangnya minat tersebut ialah kerana kita kekurangan ilmu pengetahuan di dalam bidang itu dan kita kurang dimomokkan dengan perkara-perkara sedemikian.
Tetapi kita sejak kecil lagi telah dimomokkan dengan pelbagai perkara yang tahyul sehingga perkara yang sama kita wariskan kepada genarasi sekarang dan masa depan. Lebih memalukan ialah di peringkat negeri pun kita didedahkan dengan perkara tersebut sehingga wujud pameran hantu dan jin di muzium. Perlu kita sedari bahawa jika perkara-perkara ini kita mainkan dalam fikiran masyarakat kita, maka akan lalailah generasi ini dengan perkara-perkara tersebut. Dan apa yang lebih menakutkan ialah bangsa kita akan runtuh dengan kepercayaan yang bukan-bukan. Masih ramai yang ada kepercayaan sakit atas buatan orang, Pakar Perubatan telah diagnoskan bahawa pesakit menghidap kanser, tetapi ada yang masih percaya bahawa dia kena buatan orang, jiran atau saudara mara yang buat. Dan fenomena ini telah melekat kuat dalam masyarakat kita. Maka ini adalah tanggungjawab kita untuk merubah sikap dan kepercayaan masyarakat agar menjadi lebih progresif, matang dan rasional.
Jika kita ingin melihat Negara dan bangsa kita kuat, kita sebagai ibu bapa dan pendidik perlu memainkan peranan dalam perubahan ini dan jangan sekali-kali memandang isu-isu yang saya nyatakan tadi sebagai perkara remeh. Isu ini memang sudah lama dan telah dinyatakan di dalam Buku Malay Dilemma oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1970an lagi, tetapi sikap tersebut seolah-olah telah sebati dengan masyarakat Malaysia, khususnya bangsa Melayu.
NILAI HIDUP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment