Sunday, August 2, 2009

Masa untuk masuk pasaran saham?


Share/Bookmark ADA tiga perkara penting yang berlaku minggu ini. Pertama, berita penguasaan 31 peratus saham Bernas oleh sebuah syarikat Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd. Ramai yang melahirkan rasa terkejut dan kecewa kerana satu-satunya syarikat terpenting di negara kita boleh dikuasai oleh sebuah syarikat asing.

Seperti kata Datuk Dr. Zainal Aznam, ahli Majlis Ekonomi Negara, apa sebenar motif sebuah syarikat Hong Kong memiliki sebuah syarikat pengeluar beras. Kita semua tahu beras adalah makanan penting kepada rakyat Malaysia dan Bernas bermonopoli dalam perniagaan beras.

Kita lihat sesiapa yang memiliki Bernas turut memiliki beberapa anak syarikatnya yang lain seperti Edaran Bernas Nasional Sdn. Bhd.(80 peratus), Jasmine Food Corporation Sdn. Bhd. (61 peratus), Era Bayam Kota Sdn. Bhd. (60 peratus), Syarikat Faiza Sdn. Bhd. (51 peratus) dan YHL Holding Sdn. Bhd. (51 peratus). Kesemuanya Bernas memiliki saham majoriti dalam anak-anak syarikat ini.

Bagaimana pihak Padi Beras Nasional Bhd (Bernas) tidak sedar yang ada syarikat asing yang sudah mengumpul sebegitu banyak milik saham dan dengar cerita yang menjual ini sebuah agensi kerajaan juga dan individu Melayu.

Kalau ya pun agensi kerajaan itu hendak menjual, kenapa tidak dilakukan di luar pasaran terbuka secara married deal hanya kepada agensi kerajaan yang lain.

Setahu saya agensi tersebut tidaklah sesak duit kerana mampu miliki dua tiga bangunan dan dia tak tahu ke yang dijualnya itu suatu syarikat yang strategik.

Semasa saya di Amanah Saham Nasional dulu bila ada mesyuarat agung syarikat yang mana agensi kerajaan ada kepentingan, agensi kerajaan berkenaan buat tak kisah hendak menghadiri mesyuarat tersebut.

Pada hal banyak perkara penting yang wajar dibangkitkan dalam mesyuarat terutama dari segi dasar syarikat dan amalan terhadap perniagaan Bumiputera. Kadang-kadang saya merasakan mereka ini tidak ambil pusing pasal kepentingan Bumiputera sejak dulu.

Bila saya bangkitkan macam-macam perkara janggal dengan sebuah syarikat yang Amanah Saham Nasional Bhd. ada kepentingan berdasarkan maklumat yang saya terima daripada orang dalam, syarikat itu mengadu kepada pengerusi saya, Allahyarham Tun Ismail Ali dan saya ditegah untuk menghadiri mana-mana mesyuarat agung syarikat-syarikat yang ASN ada kepentingan.

Orang yang mengadu itu orang Melayu juga. Saya pernah cakap kepada syarikat yang dimiliki sahamnya oleh PNB atau ASN, mereka yang berasa megah kerana dapat organisasi terpenting negara menjadi pemilik saham mereka, bukannya PNB atau ASN yang berasa megah..

Kalau kita milik sebahagian syarikat, lepas itu kita tidak ambil tahu apa yang dilakukan oleh syarikat yang mungkin bertentangan dengan aspirasi PNB atau ASN atau mana-mana agensi kerajaan, siapa lagi yang hendak menjaga kepentingan rakyat? Bukankah duit pelaburan agensi kerajaan itu duit rakyat?

Kita tidak nafikan, apabila sesebuah syarikat itu disenaraikan di bursa saham, siapa saja boleh beli sahamnya tetapi ada syarikat-syarikat tertentu yang perlu menyedari hakikat bahawa ia mungkin tergulung dalam kategori syarikat strategik kepada negara.

Kenapa, misalnya Tun Mahathir dulu tidak membenarkan Singtel, syarikat telekomunikasi Singapura memiliki saham Telekom Malaysia? Habislah kita.

Bila berita pembelian saham oleh syarikat Hong Kong ini timbul dan ramai yang merungut, cepat-cepat kata saham itu akan dibeli balik.

Beli balik mungkin boleh tetapi dengan harga yang lebih tinggi daripada dijual dulu. Itu pun kalau dia orang hendak jual. Kalau dia orang tak mahu, kita tak boleh juga buat apa. Lembu dah terlepas baru kita nak tutup pagar.

Kedua, suatu pertemuan ketua-ketua kumpulan di bawah Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) bertemu pada hari Rabu 29 Julai lalu membincangkan "Cabaran dan Hala Tuju Usahawan Bumiputera." Banyaklah perkara yang dibangkitkan hari itu.

Antaranya perbezaan beberapa golongan orang Melayu, di bandar dan di luar bandar. Tekanan hidup mereka yang berpendapatan rendah di bandar dan perbezaan antara mereka yang dalam golongan kelas menengah dan mereka yang masih lagi kais pagi makan pagi, kasi petang makan petang.

Sementara itu, mereka yang berpendapatan rendah ini melihat beberapa langkah keterbukaan yang bakal memberikan saingan yang lebih sengit kepada usahawan Melayu.

Ada juga persoalan ditimbulkan tentang kenapa Kementerian Pembanguan Usahawan dan Koperasi dimansuhkan sedangkan menterinya yang dulu Datuk Noh Omar melakukan pelbagai usaha untuk memajukan golongan usahawan Bumiputera.

Kini dipecahkan kepada lapan kementerian sehingga peranan menyelaras 60 agensi yang terbabit dengan pembangunan usahawan Bumiputera ibarat kumbang putus tali.

Hakikat sebenar yang ekonomi negara akan berubah untuk meningkatkan daya saing perlu diterima oleh usahawan sekarang.

Menurut Tan Sri Rahim Thamby Chik, rakyat perlu bersatu di bawah konsep 1 Malaysia kerana dokumen penting yang menjadi rujukan utama ialah Perlembagaan Negara. Satu Malaysia bukannya suatu yang baru tetapi mengingatkan kepada sesuatu yang sudah lama termaktub.

Ketiga, suatu seminar tentang pasaran saham diadakan pada hari Khamis 30 Julai. Tajuknya, "Adakah pasaran saham akan naik atau tidak?" Menurut Ahmad Abdullah, seorang pengarah eksekutif syarikat broker yang berpengalaman lebih 20 tahun menyatakan dua perkara penting.

Pertama katanya, ramai orang menyangka ada kaitan pasaran saham New York dengan pasaran saham kita. Sebenarnya tiada dan Ahmad membuktikannya dengan pergerakan tertinggi dan terendah Standard and Poors 500 (suatu ukuran pergerakan pasaran).

Jadi, jangan sibuklah menganalisis pasaran New York. Setiap pasaran saham ada kitaran dan gegarannya sendiri.

Kedua, Ahmad telah mencatat pergerakan purata 200 hari pasaran saham dan mendapati sejak April 2009, pasaran telah mula naik dan akan kekal naik selama lima tahun. Ada juga yang tidak bersetuju dengan Ahmad, tetapi dia mengatakan anak muridnya sudah untung sejak membeli pada Mei lalu.

Wakil syarikat broker saham daripada CLSA Securities, San Choo menyatakan bahawa pasaran saham kita tinggi penilaiannya berbanding dengan lain-lain pasaran. Nisbah purata harga-pendapatan kita lebih tinggi daripada orang lain..

Ertinya, berdasarkan kadar pendapatan kita, syarikat-syarikat kita dengan harga pasaran mereka, seseorang itu terpaksa menunggu lebih lama mendapatkan pulangan pelaburannya.

Ditanya tentang sama ada pelabur asing sudah memasuki pasaran sejak Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih dan memperkenalkan pelbagai perubahan, katanya, mereka ingin melihat pelaksanaan perubahan-perubahan yang diperkenalkan.

Mereka hanya meletakkan kewajaran sebanyak empat peratus sahaja kepada pasaran saham kita.

Begitulah putaran dunia. Ada masa kita menjadi pujaan, ada masa kita diketepikan.


DATO' SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).


Share/Bookmark

No comments: