Wednesday, December 17, 2008
Maju mundur bahasa Melayu di tangan kita
Maju mundur bahasa Melayu di tangan kita
AGAK menarik melihat martabat bahasa Melayu di Singapura akan diangkat apabila Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang dan SIM University (UniSIM) menandatangani perjanjian menjalin kerjasama dalam program baru yang ditawarkan di UniSIM iaitu Program Sarjana Muda Bahasa Melayu dan Kesusasteraan. (BAML)Bercakap mengenai perkara tersebut, Presiden UniSIM, Prof. Cheong Hee Kiat berkata, bahawa program tersebut bertujuan melahirkan rakyat yang lebih peka terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa yang banyak dituturkan di Asia Tenggara.
Collin, 1995, menganggarkan jumlah penutur bahasa Melayu dunia menjelang 2020 nanti sebanyak 300 juta orang. Angka itu menunjukkan betapa bahasa Melayu antara bahasa terpenting di dunia kerana ramai yang mampu bertutur dan memahaminya. Kita mungkin terkejut dengan pendirian sebuah universiti Singapura dalam soal bahasa Melayu sedangkan bahasa rasmi Singapura bukanlah bahasa Melayu. Penduduk Melayunya pula tidak sampai 20 peratus dan sudah tentu penggunaan bahasa Melayu di sana terpinggir dan dianggap ketinggalan.
Menyedari bahawa banyak perkara yang boleh dijadikan sumber pengetahuan, maka bahasa dan kesusasteraan Melayu menjadi pilihan UniSIM untuk didedahkan kepada penuntut-penuntutnya. Kepercayaan terhadap bahasa Melayu bagi sebuah negara yang tidak menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi bolehlah dianggap sebagai satu penghormatan kepada bahasa Melayu. Malah, keyakinan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi alat perpaduan antara kaum boleh dijadikan sandaran bahawa bahasa Melayu bukanlah sebagai satu bahasa yang boleh dipandang ringan.
Matlamat UniSIM untuk mendedahkan bahasa Melayu dengan lebih mendalam kepada penuntut-penuntutnya yang berbangsa Cina dan India di negara itu harus dilihat sebagai usaha menaikkan imej bahasa Melayu dalam sebuah negara yang makin kurang penggunaan bahasa Melayunya. Walaupun pengambilan pertama penuntutnya Januari ini hanya 50 orang tetapi kita percaya angka ini akan bertambah dari semasa ke semasa.
Khidmat pensyarah dari USM untuk membantu mendedahkan kepakaran mereka dalam bahasa dan kesusasteraan Melayu tentu akan dimanfaatkan sepenuhnya, bukan hanya menaikkan imej bahasa Melayu tetapi matlamat yang lebih jauh ialah dari segi kefahaman tentang budaya, adat, nilai dan juga akar umbi Melayu.
Memetik kata-kata Francois Valentyn yang diterjemahkan oleh Harvey 1884, ''Bahasa mereka, bahasa Melayu adalah bahasa Melayu yang tidak hanya digunakan di pantai-pantai, tetapi digunakan di seluruh Hindia Belanda, termasuk negeri-negeri di timur sebagai bahasa yang dimengerti di mana saja dan oleh siapa saja.
''Terlebih lagi, jika anda tidak mengerti bahasa ini, anda akan dianggap sebagai orang yang sangat tidak terdidik di dunia Timur, sedangkan orang Melayu sudah terbiasa mempelajarinya, berusaha bersungguh-sungguh dengan memperluas pengetahuan tentang bahasa tersebut''.
Merujuk kepada kata-kata di atas, amat malang jika di kalangan kita ada yang berusaha meminggirkan bahasa sendiri, melebih-lebihkan bahasa asing dalam pertuturan harian.
Kesimpulannya, maju mundurnya bahasa kita bergantung kepada sikap kita sendiri dalam menentu arah tuju bahasa kita, menilai kepentingannya dan juga menentukan pengaruhnya.
- M. JASNI MAJED
Maju mundur bahasa Melayu di tangan kita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Kita kena selalu bercakap bahasa melayu yang sopanlah :-)
(( Renungkan )) Ke Mana Kita Mahu Pergi?
http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com
Forum Generasi Muda
http://Forum1Malaysia.blogspot.com
Pakatan Antara Parti Lawan Tidak Kekal
http://pro-faizal.blogspot.com
Post a Comment