Monday, November 17, 2008

Politik, ekonomi lemah punca Melayu diperlekeh


Share/Bookmark TAHUN-tahun kebelakangan ini menyaksikan keberanian kaum bukan Melayu mempertikai, memperlekeh dan mempersoalkan perihal hak orang Melayu.
Lebih teruk daripada itu, kaum bukan Melayu menyalahkan orang Melayu sebagai punca mereka tidak mendapat tempat di negara ini terutama dalam sektor perkhidmatan awam.


Seolah-olahnya kaum bukan Melayu di Malaysia tidak mendapat apa-apa, lantaran semua dasar yang dilaksanakan kerajaan termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya untuk orang Melayu. Amat dikesali juga apabila desakan atau saranan supaya hak orang Melayu dikaji semula turut datang dari parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang telah menurunkan aku janji taat setia dan bekerjasama ketika Malaysia bertatih untuk berkerajaan sendiri.

Tambah memeritkan apabila UMNO - parti yang menaungi orang Melayu dilihat menjadi batu penghalang kepada orang bukan Melayu untuk mendapatkan apa yang dihajati. Terbaru, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy menuduh UMNO sebagai punca berlakunya ketidakseimbangan dalam pengambilan kakitangan awam.

Tuduhan yang bersifat melulu dan bercanggah dengan realiti serta fakta itu bukan sahaja menyakitkan hati orang Melayu malah membuktikan bahawa sikap iri hati bukan Melayu semakin menjadi-jadi. Jika direnung apakah punca bukan Melayu semakin berani bertindak sedemikian rupa sedangkan dari segi ekonomi, mereka lebih dominan manakala Melayu hanya mempunyai kuasa politik yang sering dijadikan bahan mainan oleh bukan Melayu.

Hakikatnya seperti yang ditegaskan oleh Datuk Seri Rais Yatim, keberanian dan keceluparan bukan Melayu antaranya didorong oleh sikap tidak kisah sebahagian Melayu yang membiarkan sahaja polemik pribumi dipermainkan.
Ia juga turut berpunca daripada penyatuan kalangan kaum Melayu yang dilihat semakin merapuh sehingga menimbulkan rasa tidak hormat bukan Melayu terhadap Melayu.

Keadaan itu menyebabkan bukan Melayu semakin berani menjentik perkara-perkara yang telah dipersetujui dan disepakati sebelum ini tanpa peduli sama ada tindakan seperti itu akan menimbulkan kemarahan orang Melayu. Sudah tiba masanya, orang Melayu bermuhasabah diri dan bertindak pantas untuk tampil sebagai kaum yang mempunyai harga diri, kejituan jati diri serta kekuatan ekonomi supaya tidak lagi diperlekehkan oleh bukan Melayu.

Bak kata Rais, tidak ada gunanya Melayu melaung-laungkan ketuanan dan hak di sisi Perlembagaan sedangkan realitinya Melayu tidak dihormati dan merempat di negara sendiri. Paling penting lagi ialah setiap cercaan dan penghinaan terhadap Melayu tidak cukup sekadar dijawab dengan mengeluarkan kenyataan atau membuat laporan polis.

Tindakan membetulkan kedudukan Melayu dengan menyelesaikan semua masalah dalam Melayu mesti segera dilaksanakan. Dalam banyak hal Melayu menjadi punca kelemahan kaum sendiri dan akibat kelemahan itu kaum-kaum lain bermaharajalela untuk memijak Melayu.

Bangkit dan bersatu lah wahai bangsaku. Demi Agama Bangsa dan Negara yang telah di duduki dan diperintah sejak sekian lama oleh nenek moyang kita beribu tahun yang lalu.

Melayu itu Hebat
Melayu itu Gemilang
Melayu itu Bijak


Share/Bookmark

1 comment:

azlishukri said...

orang melayu harus bangkit..