Friday, January 30, 2009

Penjenayah Disanjung


Share/Bookmark TERDAPAT satu trend yang sangat membimbangkan apabila seseorang yang disyaki melakukan jenayah mendapat pembelaan yang luar biasa daripada masyarakat.

Sokongan tersebut bukan sahaja daripada pihak keluarga malah daripada kumpulan NGO, juga menteri-menteri dan juga bekas menteri Kabinet.

Sepatutnya menteri-menteri dan juga bekas menteri tahu akan tanggungjawab mereka kepada masyarakat seperti membanteras jenayah dan memastikan ketenteraman awam. Bukan dengan menambah buruk lagi keadaan.

Isu-isu seperti ini juga tidak boleh dilabel sebagai berbau perkauman kerana ia amat merbahayakan ketenteraman awam.

Jenayah bukan hak milik kaum India, Cina atau Melayu sahaja. Ia berlaku kerana terdapat kepincangan dalam masyarakat itu sendiri. Inilah yang perlu diperbaiki oleh semua kaum.

Di sinilah perlunya pemimpin-pemimpin kaum memainkan peranan mententeramkan perasaan kaum mereka dan bukan mencurahkan lagi api.

Pemimpin yang berwibawa adalah pemimpin yang boleh mencorakkan nasib kaum mereka kepada yang lebih baik dan bukan sebaliknya.

Hanya kerana mengejar populariti mereka sanggup mengorbankan etika dan prinsip. Mereka ini juga yang akan marahkan polis jika rumah mereka dimasuki pencuri kerana polis tidak meronda di kawasan mereka.

Perlu diingat yang masyarakat Malaysia kini diancam dengan pelbagai jenayah daripada jenayah peras ugut, pecah rumah, kecurian kereta, penculikan dan kes bunuh. Setiap hari ada sahaja kes-kes pembunuhan dan kehilangan kanak-kanak terpapar di akhbar-akhbar.

Pihak polis menghadapi tekanan menyelesaikan kes yang berat seperti kes bunuh dan penculikan. Kini ditambah pula dengan tugas menjaga ketenteraman awam apabila berlaku tunjuk perasaan.

Tiada siapa yang menyokong tindakan keras pihak polis terhadap orang yang disyaki bagi mendapatkan bukti sesuatu kes jenayah.

Jika benar ia berlaku maka perbuatan tersebut haruslah dikutuk. Mereka yang bertanggungjawab mesti dibawa ke pengadilan dan dihukum. Pihak polis mestilah profesional menangani kes ini untuk terus dihormati oleh masyarakat.

Saya berpendapat bukan semua polis bersikap demikian. Institusi polis tidak akan tercalar hanya kerana kes ini jika pun terdapat salah laku anggotanya dalam kejadian ini.

Apa yang harus dilakukan sekarang ialah mententeramkan perasaan keluarga mangsa dan pihak polis mestilah menunjukkan keadilan yang sebenarnya.

Orang luar tidak perlu mencampuri sesuatu kes jenayah baik kumpulan NGO dan juga menteri-menteri melainkan menteri yang bertanggungjawab.

by ESA ADAM

Share/Bookmark

No comments: