Sunday, October 19, 2008
Teliti kesan lantik dua Timbalan Pengerusi BN
Teliti kesan lantik dua Timbalan Pengerusi BN
ADAKAH selepas ini jika jawatan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditambah kepada dua dengan satu daripadanya diisi oleh pemimpin MCA seperti cadangan bekas Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai akan menggambarkan perkongsian kuasa sebenar di kalangan parti komponen BN?
Adakah pelbagai tuntutan lain yang ibarat sudah diberi betis hendakkan paha akan padam sekiranya hasrat tersebut terlaksana? Timbul juga persoalan, siapa yang buli siapa apabila cadangan tersebut dikaitkan dengan istilah pembuli yang kerap disebut sejak akhir-akhir ini?
Hakikatnya, walaupun Timbalan Presiden UMNO turut memegang jawatan Timbalan Pengerusi BN, hak mana-mana parti komponen BN untuk bersuara tidak pernah dinafikan sejak BN terbentuk pada 1974 lagi.
Selama ini pun, semua pemimpin komponen termasuklah MCA memiliki kebebasan bersuara yang luas lantaran kedudukan perwakilan mereka tetap diberi perhatian sewajarnya. Malah, jika diturutkan kehendak MCA yang hanya mampu meraih 10.21 peratus undi dengan menyaksikan banyak kerusinya hilang dalam pilihan raya umum Mac lalu, tidak mustahil 13 rakan sekutu BN lain akan saling menyalak menuntut perkara yang sama.
Selain itu, dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting bahawa UMNO begitu dominan dalam BN juga adalah tidak tepat jika melihatkan pencapaian jauh lebih dominan taraf sosioekonomi dan pengaruh politik bukan Melayu khususnya masyarakat Cina di negara ini.
Desakan Tiong Lai tersebut juga seperti menangguk di air keruh serta nyata tidak banyak membantu kerajaan dalam menumpukan sepenuh usaha bekerjasama mengatasi masalah kemelesetan ekonomi dan kerapuhan perpaduan masyarakat masa kini.
Sedangkan, rakyat Malaysia menantikan apakah usaha dan tindakan setiap komponen BN tidak terkecuali MCA untuk sama-sama membincangkan hal berkaitan rakyat berbilang kaum bukan sekadar berlegar pada persoalan kuasa politik kepartian kaum semata-mata. Malah, jika usul dua jawatan Timbalan Pengerusi BN itu diterima, jawatan salah satunya lebih molek dan adil diserahkan kepada mana-mana parti komponen Bumiputera di Sabah atau Sarawak.
Rasionalnya adalah berdasarkan faktor komposisi penduduk majoriti Melayu-Bumiputera di negara ini serta sokongan kuat masyarakat di sana terhadap BN dalam pilihan raya umum ke-12 lalu. Sebagai catatan, kedua-dua negeri tersebut menyumbang 57 kerusi iaitu 25.6 peratus daripada 222 kerusi Parlimen (Dewan Masyarakat, Edisi Khas 2008:62).
Tidak keterlaluan juga ada baiknya setiap komponen BN turut memahami mesej yang tersirat di sebalik kenyataan akhbar khas yang telah dikeluarkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu ke-215 minggu lalu.
Apa pun, desakan untuk menambah satu jawatan Timbalan Pengerusi BN itu perlu benar-benar diteliti terlebih dahulu. Apakah rakyat Malaysia akan dapat menikmati kestabilan politik, kemantapan ekonomi serta keharmonian sosial jika impak negatif lebih banyak daripada kebaikan hanya kerana memenuhi kehendak komponen BN tertentu yang bukan-bukan?
oleh MOHD. ARIF ATAN
Teliti kesan lantik dua Timbalan Pengerusi BN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salam saudara.
Perkara ini perlu diteliti dengan mendalam. Senario sekarang di mana kedua-dua parti Melayu berada dalam keadaan sama-sama kuat (tiada yang benar-benar dominan) membuatkan tawar-menawar politik berlaku oleh bukan Melayu.
Berbeza ketika UMNO dominan dahulu. Parti Melayu selain UMNO lemah membuatkan undi penentu bukanlah dari bukan Melayu. Kini parti Melayu sama-sama kuat membuatkan sebenarnya Melayu lemah. Undi penentu sudah jatuh ke tangan bukan Melayu.
Saya bimbang jika parti Melayu sanggup menggadaikan jawatan TPM demi sokongan bukan Melayu (tidak kira UMNO mahupun PKR/PAS). Perkara ini sangat mendukacitakan semua umat Melayu jika berlaku. Dan bagi saya...sesebuah parti itu tidak lagi relevan jika perkara-perkara penting digadaikan demi kuasa.
Bagi saya, keadaan ini menampakkan parti Melayu yang terdesak untuk berkuasa. Terlalu banyak perkara yang kita nampak berlaku. Cthnya di Perak (demi kuasa tanah tergadai) dan Selangor (demi kuasa banyak hak Islam dan Melayu diperkotak-katikkan) berkaitan isu dan isu lain-lainnya.
Di peringkat pusat pula, saya mendapati berlakunya tawar-menawar politik dalam hal biasiswa JPA yang mana dinaikkan kepada 55:45 berbanding 90:10. Ini sebenarnya merugikan Melayu. Tawar menawar politik yang sebegini dibenci Melayu.
Begitu juga pendapat saya dalam tawar menawar politik dalam jawatan timbalan pengerusi BN yang mana secara lumrahnya akan menjawat jawatan TPM. Walau pun jawatan tersebut dikatakan hanya untuk jawatan Timbalan Pegerusi II tetapi usaha ke arah TPM sudah bermula jika tolak ansur tersebut dipersetujui.
Sekadar pendapat...
Post a Comment