Tuesday, October 28, 2008

Hentikan kenyataan pertikai hak-hak bumiputera


Share/Bookmark UNGKAPAN 'Melayu mudah lupa' kini boleh dikaitkan dengan masyarakat bukan Melayu. Bukan lama pun Majlis Raja-Raja Melayu menyeru supaya falsafah Perlembagaan negara yang menyentuh kontrak sosial - hak-hak istimewa institusi Raja dan orang Melayu - perlu dijaga serta tidak terus dipersoalkan.

Tetapi rentak untuk membangkitkan perkara yang agak sensitif ini masih mahu dikeluarkan oleh pemimpin kanan komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.
Apakah rasional kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai hingga mencadangkan kerajaan supaya syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam dimansuhkan.

Apakah apabila dimansuhkan ia akan menjamin daya saing syarikat berkenaan? Menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat awam disifatkan sebagai satu cadangan yang tidak bertanggungjawab.
Janganlah tunjukkan sikap tamak hingga melupakan golongan yang tertinggal dalam menikmati hasil ekonomi negara. Apakah tidak cukup kekayaan yang sudah dibolot sejak merdeka dan kini mahu kesemua hasil kemakmuran ekonomi negara ingin dikaut semua tanpa memikirkan nasib golongan bumiputera?

Mana-mana pemimpin politik yang ingin mencadangkan supaya syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam dihapuskan, ia perlu realistik. Selepas lebih 18 tahun Dasar Ekonomi Baru diganti dengan Dasar Ekonomi Nasional, matlamat mencapai 30 peratus pegangan ekuiti bumiputera dalam kek ekonomi negara masih jauh. Sehingga sekarang pegangan bumiputera hanya sekitar 19 peratus.

Oleh itu, wajarkah syarat ini dimansuhkan? Jika cadangan ini dilayan, apakah wujud lagi jaminan bahawa bumiputera akan mendapat pembelaan dan agihan dalam ekonomi negara. Hakikatnya sekarang, semua kaum sedar bahawa bumiputera masih ketinggalan dalam bidang ekonomi, walhal mereka adalah penduduk majoriti negara ini.

Kita setuju syarat itu dimansuhkan setelah matlamat yang cuma mahu 30 peratus pegangan ekuiti itu mencapai kejayaan. Selagi agenda bumiputera itu belum tercapai, biarlah ia dipertahankan walaupun terpaksa memakan masa 50 tahun atau lebih seabad lagi. Pada masa sekarang kita harap kerajaan memberi tumpuan untuk mengharungi cabaran ekonomi yang menuju kegawatan seperti sedekad yang lalu. Jangan tertekan dengan cadangan MCA itu.

Kita perlu membuat langkah-langkah persediaan untuk menghadapi suasana ekonomi dunia yang kurang menentu sekarang. Ini bukan masa untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan mendesak dibuat perubahan dalam dasar-dasar kerajaan yang dirasakan tidak perlu pun diubah lagi.

Oleh itu, kita menyeru kepada pemimpin politik baik komponen BN atau pakatan pembangkang supaya berhentilah daripada mengeluarkan sebarang cadangan atau usul yang berkaitan dengan hak bumiputera. Tindakan itu adalah wajar demi menghindar daripada timbulnya bibit-bibit rasa tidak puas hati antara kaum.



Share/Bookmark

2 comments:

Kembara Politik said...

Segenap Melayu Wajib Pertahankan Kontrak Sosial...

Faizal Zakaria's Blog said...

Saya fikir perkara ini tak perlu berlebih2an :-)







Selamat Datang Ke Laman Blog Baru Saya :-)
http://Forum1Malaysia.blogspot.com