Thursday, August 21, 2008

Sejarah ringkas kemasukan ahlul bait Rasulullah SAW di istana Raja-Raja Melayu


Share/Bookmark Perlantikan kaum Sayyid sebagai para pemerintah kesultanan-kesultanan yang berdaulat di rantau ini mempunyai kaitan secara langsung dengan kemunculan ahlul bait Rasulullah SAW dari gelombang pertama mulai awal abad ke 14 Masihi. Hampir keseluruhan kesultanan-kesultanan dari dinasti Quraisy jurai Bani Hasyim di Alam Nusantara dibentuk oleh golongan ini sedangkan kelompok yang datang dari gelombang kedua mulai awal abad ke 18 Masihi kebanyakannya hanya menjadi rakyat biasa.

Rata-rata ahlul bait yang masuk ke istana Raja-Raja Melayu dahulu kala adalah sebagai menantu, kerana sebagai pemerintah umat Islam yang berdaulat, suntikan daulah zuriat Rasulullah SAW pada kesultanan seseorang raja dianggap boleh menaikkan ‘saham’ kesultanan tersebut. Oleh itu lazimnya keturunan yang terhasil dari perkahwinan ahlul bait tersebut dengan puteri raja akan dipilih untuk menyambung pemerintahan raja, terutamanya jika putera tersebut menyerlahkan ciri-ciri keunggulan yang lazim ada pada zuriat Rasulullah SAW.

Antara contoh kemunculan ahlul-bait sebagai menantu raja di Alam Melayu ialah di Perlis, dimana Sayyid Harun ibni Sayyid Ahmad Jamalullail, seorang ahlul-bait yang begitu berpengaruh di Kedah lama atas sifat ketaqwaan dan bakat kepimpinan yang dimilikinya, telah menarik minat Sultan Dhiauddin Mukarram Syah, iaitu Sultan Kedah yang ke 15, lalu dipilih menjadi menantu baginda melalui perkahwinannya dengan puteri Tengku Sofiah. Peristiwa ini berlaku apabila isteri pertama Sayyid Harun yang bernama Sharifah Mariam meninggal dunia. Kemudiannya, putera Sayyid Harun dari isterinya yang ketiga (Tengku Sofiah tiada berzuriat), iaitu Sayyid Hussein Jamalullail akhirnya dilantik sebagai raja pertama bagi negeri Perlis yang berdaulat.

Syarif Ali, bekas Raja Mekah, seorang lagi ahlul-bait Rasulullah SAW juga menarik perhatian Sultan Brunei ke-II yang memerintah di waktu itu, iaitu Sultan Ahmad (1415-1425M) lalu diberi kahwin dengan puteri baginda, Puteri Ratna Kesuma. Ketokohan Syarif Ali sebagai pemimpin dan mubaligh yang unggul menyebabkan ia diangkat menjadi sultan Brunei yang ketiga dengan gelaran Sultan Barakat.

Sayyid Abu Bakar, pengasas kesultanan Sulu telah berkahwin dengan puteri Raja Baguinda yang bernama Pangeran Fatimah Asyahirain, dan kemudiannya dilantik menjadi wakil Sultan dan imam. Apabila Raja Baguinda mangkat Sayyid Abu Bakar telah ditabalkan menjadi Sultan Sulu. Gelaran yang digunakan ialah Sultan Syariful-Hasyim dan baginda bermukim di Buansa (pusat kesultanan yang pertama) selama lebih kurang 30 tahun. Tahun pemerintahan Sultan Syariful Hasyim ialah sekitar 1450M, dan tarikh kemangkatannya ialah dalam tahun 1480M.

Syarif Muhammad Kebungsuwan merupakan seorang lagi ahlul bait Rasulullah SAW yang mengasas kesultanan ahlul bait Mindanao di Filipina. Kedatangan Muhammad Kebungsuwan di Mindanao dan usaha penyebaran dakwah yang dilakukannya pada mulanya ditentang oleh penduduk- penduduk setempat, tetapi kemudiannya beberapa pemimpin mereka seperti Tabunaway dan Mamalu telah bersetuju menerimanya dengan baik. Kemudiannya melalui perkahwinan Syarif Kebungsuwan dengan beberapa puteri pemimpin tempatan, mereka pula telah dapat menerima kehadirannya. Akhirnya, Syarif Kebungsuwan telah mendapat pernyataan taat setia daripada ketua-ketua suku penduduk Mindanao yang memeluk Agama Islam di tangannya. Daripada keturunan Kebungsuwan lahirlah dinasti pemerintah ahlul-bait Rasulullah SAW di Mindanao.

Tun Habib Abdul Majid (mangkat 1697M) juga merupakan satu lagi contoh klasik dimana datuknya Sayyid Zainal Abidin, seorang Sayyid berbangsa Acheh telah masuk menjadi keluarga pada keturunan bendahara-bendahara Melaka dan Johor lama melalui perkahwinannya dengan cucu Tun Seri Lanang yang merupakan Bendahara Melaka di zaman Sultan Abdullah Maayah Syah (1615-1623M). Keturunan daripada Tun Habib Abdul Majidlah yang menjadi raja-raja Johor, Pahang dan Terengganu sekarang.

Sejarah peristiwa kemasukan sebilangan ahlul-bait ke dalam istana raja-raja di Alam Melayu sebahagiannya ringkas dan tidak melibatkan siasah politik seperti sejarah Syarif Ali, iaitu Sultan Brunei yang ketiga dan juga Sayyid Harun Jamalullail, iaitu ayahnda kepada Raja Perlis yang pertama. Sedangkan yang lainnya melibatkan siasah politik pemerintah-pemerintah tempatan. Contoh yang paling jelas ialah nenda kepada Tun Habib Abdul Majid, (Bendahara Padang Saujana), iaitu Sayyid Zainal Abidin, seorang ahlul-bait berbangsa Acheh yang masuk menjadi keluarga Bendahara Johor lama sebagai menantu melalui perancangan keluarga pembesar ini, dengan harapan dapat menyuntik ‘daulah zuriat’ dalam kedudukan keluarga bendehara Johor lama tersebut. Itulah sebabnya Sayyid Zainal Abidin dan keturunannya dipilih bagi memberi kesinambungan pada kekuasaan keluarga pembesar Johor iaitu pada kedudukan bendahara dan temenggung, sedangkan waris sebenar masih ramai lagi. Perancangan ini akhirnya membuahkan hasil dengan mendapat restu raja dan rakyat apabila cucu Sayyid Zainal Abidin yang bernama Tun Habib Abdul Majid itu diberi kedudukan sebagai Bendahara Johor dengan mendapat gelaran Bendahara Seri Maharaja kerana beliau bukan sahaja mempunyai susur galur secara langsung kepada keluarga bendahara Johor (nendanya puteri bendahara), kelebihannya yang lain ialah pada zat ahlul-bait yang dimiliki dalam darah dagingnya yang secara otomatik meninggikan statusnya di kalangan masyarakat Islam.

Dalam konteks sejarah kemasukan sebilangan para ahlul-bait ke dalam istana Raja-Raja Melayu sebagai menantu, antara fakta yang menarik ialah faktor pemilihan mereka atau anak cucu mereka dalam memberi kesinambungan kepada pemerintahan negeri. Dalam sesetengah hal, mereka menyambung pemerintahan kerana raja tiada mempunyai waris pemerintahan yang sah, dalam lain perkataan tiada berputera. Namun terdapat juga raja yang mempunyai waris tetapi kesinambungan pemerintahan negeri tetap dianugerahkan kepada menantu atau anak cucu menantu yang berketurunan ahlul-bait Rasulullah SAW itu. Hal ini terjadi semata-mata atas kesedaran agama yang menekankan soal nasab dalam pemerintahan umat Islam.

Share/Bookmark

No comments: