Sunday, September 14, 2008

TINDAKAN ISA demi MENCEGAH pergaduhan kaum


Share/Bookmark DEMI mengelakkan ketegangan kaum yang boleh mengancam keselamatan negara, tindakan penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas tiga individu yang terbabit adalah wajar.

Kita tidak boleh mengambil risiko membiar suasana tegang dalam negara menjadi lebih tidak terkawal. Barangkali jika pihak berkuasa lewat bertindak, api kemarahan dan pergaduhan antara kaum mungkin tidak dapat dielakkan.
Pada masa itu siapa yang harus bertanggungjawab. Apa yang pasti, pihak kerajaan akan dipersalahkan.

Jadi apa yang kerajaan lakukan pada Jumaat lalu adalah satu tindakan pencegahan dan amaran keras kepada pihak yang cuba mengganggu-gugat keselamatan negara dengan membangkitkan isu- isu perkauman dan agama serta mencabar undang-undang negara.

Rakyat tentu sedar bahawa kerajaan sudah cukup bersabar dengan pihak terbabit. Oleh itu, mereka harus 'diberitahu' bahawa tindak-tanduk mereka sudah melampaui batas.

Sungguhpun, kita boleh menggunakan undang-undang Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan tanpa menggunakan ISA dalam menahan individu terbabit dengan masalah yang mengancam keselamatan negara, tetapi ia kurang berkesan.
Dengan barisan peguam yang handal dan proses keadilan yang mungkin mengambil masa yang panjang, pasti individu terbabit akan 'dilindungi' tetapi keselamatan negara yang tercabar belum tentu terjamin.

Mana satu kita mahu pilih dan pertahankan - keadilan untuk individu yang mengocak suasana tegang dalam negara atau menjaga keselamatan rakyat berbilang kaum daripada bergaduh.
Kita melihat ISA suatu bentuk pencegahan dan kawalan sebelum perkara tidak diingini terutama rusuhan kaum berlaku.

Sebelum tercetus kemarahan, rusuhan kaum, kerosakan harta awam, pembunuhan dan kecederaan, adalah lebih baik tindakan diambil terlebih dahulu sebelum nasi menjadi bubur.

Sebagai sebuah negara berbilang kaum, budaya dan agama, tindakan tegas melalui ISA adakala perlu diambil supaya ketenteraman awam terpelihara.
Sebenarnya tiada siapa bebas bersuara dan bertindak tanpa mempedulikan perasaan orang lain.

Jika pihak yang menimbulkan masalah itu tidak mengambil kira keselamatan dan ketenteraman awam dan melanggar lunas undang-undang yang ada, dia wajib dikenakan tindakan mengikut peruntukan di bawah ISA.

Penggunaan ISA pun ada kala tidak melebihi dari keperluan yang dikehendaki. Rata-rata mereka yang ditahan di bawah ISA akan dibebaskan semula.
Pembebasan wartawan wanita Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dari tahanan ISA memperlihatkan betapa ISA tidak digunakan lebih dari sepatutnya.

Kita harus faham bahawa ISA diwujud dan dikuatkuasakan atas sebab-sebab keselamatan. Ternyata undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen itu berkesan untuk mencegah kacau-bilau dan huru-hara di negara kita. ISA tidak digunakan atas sebab lain, kecuali untuk menjamin keselamatan negara.


Share/Bookmark

No comments: