Monday, August 4, 2008

BERSEDIAKAH ORANG MELAYU


Share/Bookmark DEMOKRASI terpimpin yang selama ini menjaga dan menjamin nasib orang Melayu dan ketuanan Melayu kini seakan-akan seperti lapisan ozon yang semakin nipis. Keadaan ini ditambah lagi dengan percaturan politik Melayu yang seakan-akan mahu menggadaikan nasib bangsa. Perjuangan orang Melayu untuk bangkit selepas bertahun-tahun menempuh kepayahan sehingga mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 seolah-olah semakin kabur.

Orang Melayu yang dalam keadaan antara sedar, semakin hanyut dalam arus perubahan dan acuan Melayu baru. Lapisan generasi Melayu yang baru tidak mahu diingatkan tentang pentingnya menjaga hak dan kepentingan bangsa dan kebangsaan. Lebih buruk daripada itu, generasi Melayu baru sudah mahu melupakan susah payah dan pengorbanan pejuang Melayu terdahulu sehingga sanggup mengabaikan kelebihan yang diperoleh selama ini.

Semangat Melayu baru yang menjadi pegangan generasi Melayu baru pada kebelakangan ini seolah-olah mahu mengarah kepada Free Nation Democracy atau sebutan yang lebih mudahnya demokrasi ala Amerika. Demokrasi cara ini merestui sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk menjadi pemimpin (Presiden). Bermakna sekiranya revolusi dalam pemikiran politik Melayu ini berlaku, ia akan merubah satu sejarah baru dalam politik tanah air bahawa pentadbiran negara akan beralih arah kepada pentadbiran republik.

Di Malaysia pertembungan politik Melayu sedang berlaku antara pengamal demokrasi terpimpin yang diperjuangkan oleh orang Melayu lama kebanyakannya berpaut kepada UMNO dan demokrasi ala Amerika yang dipelopori oleh angkatan Melayu baru yang banyak dilihat berpaut kepada orang Melayu generasi baru dalam Parti Keadilan Rakyat.

Ini tidak termasuk ahli Pas yang keanggotaannya bercampur aduk di antara golongan ulama dan Melayu profesional yang mana pendirian patriotisme mereka tidak berakarkan kepada nasionalisme Melayu.
Sangat malang bagi generasi Melayu baru yang tidak disuapkan dengan makanan patriotisme dan demokrasi terpimpin yang selama ini telah mengasuh dan membela mereka untuk bangun, bertatih dan berlari bersama-sama bangsa lain di tanah air sendiri terleka dan tidak dapat berpaut teguh pada dahan dan ranting demokrasi terpimpin.

Soalnya apakah orang Melayu sudah bersedia untuk menyerahkan hak-hak mereka dan waris mereka turun-temurun supaya mereka tidak perlu dilayan sebagai rakyat kelas pertama dan dengan kekurangan yang belum dapat dipenuhi adakah mereka sudah bersedia untuk itu.

Sebagai orang biasa yang sangat sayangkan bangsa, agama dan negara, saya mahu merujuk kepada bangsa Melayu dan Islam, maka saya berharap dan berdoa supaya orang melayu akan sedar tentang pentingnya memilih dan menjaga hak yang ada untuk masa depan dan warisan akan datang.

tulisan PAKU PAYUNG di sunting oleh GW
Share/Bookmark

No comments: