Wednesday, August 20, 2008

Kenapa sambutan kemerdekaan ke-51 hambar?


Share/Bookmark SEMARAK merdeka masih tidak sampai tahap membahang sedangkan detik 31 Ogos sudah semakin hampir. Jika kibaran Jalur Gemilang dijadikan sebagai penanda aras kemeriahan merdeka, mengapa tahun ini dirasakan begitu hambar sambutannya?

Ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-51 yang bertemakan 'Perpaduan Teras Kejayaan' dilihat tidak bermaya berbeza keadaannya dengan sambutan Jubli Emas pada tahun lalu atau tahun-tahun sebelumnya.
Pelbagai faktor mendorong wujudnya kemuraman sambutan merdeka tahun ini selain daripada ada kaitan dengan langkah penjimatan dalam perbelanjaan negara yang telah diumumkan oleh kerajaan. Tiada lagi pemberian bendera percuma bukannya penyebab tunggal.

Paling ketara ialah rakyat lebih menumpukan soal mengisi 'perut' daripada menggantung atau mengibarkan bendera. Sebaliknya, Hari Kemerdekaan pula dianggap sekadar cuti biasa untuk rakyat melepas lelah selepas penat setiap hari bekerja.
Peningkatan kos sara hidup ekoran kenaikan harga bahan api sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63 peratus diesel bermula 5 Jun lalu telah memaksa rakyat mahu tidak mahu bekerja dan terus-bekerja dari sebelum terbit matahari hinggalah ke malam hari.

Oleh sebab itu, hal-hal yang bukannya berorientasikan wang secara langsung seperti menyambut kemerdekaan tidak mendapat perhatian utama rakyat marhaen.
Kehangatan sambutan kemerdekaan juga dialihkan kepada minat rakyat membincangkan gegak-gempita siri-siri 'drama politik' yang mutakhir ini kian panas.

Lafaz sumpah atau mubahalah Mohd. Saiful Bukhari Azlan diikuti pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos depan sehinggalah dakwaan mengaitkan bahawa Akta Rang Undang-undang Indentifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 mendapat perhatian rakyat berbanding soal menyambut kemerdekaan.

Walaupun begitu, tidaklah tepat jika premis hujah masyarakat sibuk membicarakan pergolakan politik tanah air selain daripada fokus rakyat dalam mencari rezeki sebagai dua punca utama dinginnya sambutan rakyat terhadap ulang tahun kemerdekaan.

Ini kerana rakyat negara jiran, Indonesia yang lebih getir berdepan dengan masalah hidup dan tidak kurang hebat rencam politiknya tetap meriah malah kreatif dalam meraikan ulang tahun kemerdekaan negaranya ke-63 pada 17 Ogos lalu.

Jadi, mengapa masyarakat kita seperti tidak teruja dengan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini?

Adakah berpunca daripada kegagalan kita selama ini mewujudkan satu rupa bentuk bangsa Malaysia yang memiliki penghayatan jiwa nasionalisme dan patriotisme yang tinggi sehingga mampu membenam faham cauvinisme dan saling mencurigai?

Oleh MOHD. ARIF ATAN


Share/Bookmark

No comments: