Monday, August 18, 2008

Usah biar Melayu makin celaru


Share/Bookmark ADAKAH sekarang orang Melayu sedang ditertawakan oleh orang lain lantaran pemimpin dan masyarakat kita sa- ling melatah, bercakaran dan makin ber- celaru minda dan tindakannya?

Mutakhir ini, ada sahaja berita yang pastinya menyebabkan ramai orang Melayu gusar akan nasib bangsanya. Dalam hal berkaitan pendidikan sahaja, cadangan agar UiTM dibuka 10 peratus kepada bukan Melayu adalah rentetan daripada tindakan membenarkan kemasukan peratusan yang sama ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) beberapa tahun lalu serta peningkatan pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga 45 peratus kepada pelajar bukan Melayu.


Itu belum disentuh tentang soal hakisan tanah-tanah milik Melayu di kawasan bandar termasuklah di ibu negara seperti yang menghantui para penghuni kampung-kampung Melayu tradisi di sekitar Kuala Lumpur.
Kebimbangan orang Melayu makin ketara jika dikaitkan dengan pilihan raya kecil di Permatang Pauh pada 26 Ogos ini. Hanya orang Melayu yang taksub pada politik kepartian yang disokongnya sahaja tidak khuatir dengan nasib anak cucunya kelak.

Ini kerana pilihan raya 'kecil' tersebut yang sebenarnya besar signifikannya pada landskap politik negara ini dikatakan akan membawa kepada peralihan kuasa pada 16 September depan iaitu lebih awal daripada pertengahan 2010 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Apa yang digusarkan apabila melihat kecenderungan sebahagian pemimpin Melayu yang sanggup menggadaikan kepentingan dan hak bangsanya sendiri ha- nya kerana mahu mengambil hati orang lain walaupun telah sedia termaktub da- lam Perlembagaan.

Mereka bukannya nasionalis bangsa sebaliknya hanya golongan oportunis yang hanya tahu mengambil kesempatan dan tidak peduli akan maruah dan survival bangsanya sendiri.

KeterlaluanIni dapat dibuktikan apabila menjelang hari penting seperti musim pilihan raya. Kehendak dan tuntutan orang lain cepat sahaja dipenuhi secara keterlaluan hingga mengabaikan kedudukan orang Melayu.
Jika begini halnya, bagaimanakah apa yang dipanggil hak orang Melayu itu dapat dikekalkan kelangsungannya?

Jumlah kaum bumiputera yang hampir 17 juta orang iaitu 62 peratus daripada seluruh rakyat negara ini seperti tidak bermakna apabila banyak cadangan atau keputusan yang dibuat hanya lebih banyak menguntungkan orang lain.
Adakah apa yang berlaku ini petanda pemimpin Melayu sanggup menggadaikan bangsanya hanya kerana mahu berada di tampuk kuasa?

Lantaran mahu mengambil hati orang lain juga, pemimpin kita sewenang-wenangnya sanggup berubah jati diri dengan membelakangkan dasar-dasar kebangsaan yang umum diketahui berteraskan Melayu berkaitan bahasa, pendidikan dan kebudayaan kebangsaan.

Ironinya, mereka jugalah yang melaungkan agenda memelihara hak orang Melayu sedangkan dari segi kesungguhan politik dalam memelihara hak orang Melayu ternyata masih kurang di sana sini.
Ketika pemimpin Melayu begitu celaru mempertahankan kepentingan Melayu lantaran mahu mengambil hati orang lain, pemimpin kaum lain pula sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang begitu lantang dan konsisten sehingga tahap tidak mempedulikan kedudukan Melayu lagi.

Sampai bila kita mahu melihat orang lain bertepuk tangan gembira melihat kecelaruan pendirian, sikap dan tindakan pemimpin serta orang Melayu hari ini?

Oleh MOHD. ARIF ATAN


Share/Bookmark

No comments: