Wednesday, August 20, 2008

USAH LAYAN LONGGARKAN KUOTA RUMAH BUMIPUTERA


Share/Bookmark TINGGAL kira-kira seminggu lagi, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2009 pada 29 Ogos ini.

Ketika orang ramai menantikan pengumuman bajet yang diharapkan meredakan keresahan mereka akibat kenaikan harga minyak dan barangan, ada kalangan tertentu tidak melepaskan peluang untuk mengharapkan sesuatu.

Dalam usaha kerajaan untuk menyusun semula masyarakat terutama mengimbangkan komposisi kaum di kawasan perumahan atau bandar baru, sikap Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) nampak berbeza.
Apa yang kita hairan ialah REHDA masih tidak putus asa dengan terus mendesak kerajaan melonggarkan kuota jualan rumah bumiputera untuk dijual kepada pasaran terbuka.

Nada permintaan REHDA itu nampak berhemat dengan berharap kerajaan menyemak semula dasar kuota bumiputera untuk tidak melebihi 30 peratus supaya ia memberi rangsangan kepada sektor perumahan.
REHDA juga mahu mekanisme pengeluaran kuota bumiputera diseragamkan, disusun dan telus.

Bagi Bajet 2009, REHDA meminta diskaun bumiputera dihadkan kepada lima peratus dan terpakai hanya bagi rumah berharga RM250,000 dan ke bawah.
Kerajaan juga diminta menimbang mengecualikan rumah kos rendah dan kos sederhana daripada diskaun bumiputera.

Malah REHDA mahu kerajaan menyemak semula harga siling perumahan kos rendah berharga daripada RM42,000 hingga RM60,000 sebuah kepada RM75,000 sebuah di Lembah Klang memandangkan peningkatan kos bahan binaan.
Soal kuota rumah milik bumiputera nampaknya terus dijadikan faktor penyebab masalah industri perumahan kurang berkembang.

Dalam perkara ini, kerajaan harus berhati-hati dalam membuat keputusan. Kerajaan jangan termakan pujuk rayu pemaju hingga melonggarkan beberapa syarat bagi membolehkan rumah tersebut dijual.
Kita amat bimbang jika permintaan REHDA itu dilayan, ia akan menjadi ikutan pada masa akan datang apabila kerap kali mereka menghadapi masalah kuota rumah bumiputera yang tidak terjual.

REHDA tidak wajar melupakan syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan sewaktu mereka memohon memajukan kawasan perumahan.
Apa yang mungkin dapat dibantu bagi mengatasi masalah kuota bumiputera yang gagal dijual, kita cadangkan agensi kerajaan membelinya dahulu bagi pihak bumiputera. Itu pun jika wujud polisi yang membenarkan agensi kerajaan berbuat demikian.

Jika tidak, pemaju perlu menawarkan pakej harga istimewa yang mampu dibeli mengikut kemampuan pembeli bumiputera.
Permintaan REHDA dalam beberapa perkara yang melibatkan kuota bumiputera jangan dilayan atau diberi kelonggaran.
Kerajaan perlu mengingatkan pemaju bahawa mereka jangan hanya memikirkan keuntungan dan memenuhi sasaran bagi kuantiti sahaja, tetapi perlu mengambil kira dasar membantu rakyat memiliki rumah sendiri dan mengukuhkan perpaduan kaum.


Share/Bookmark

No comments: