Monday, August 11, 2008

Hasutan di sebalik kebebasan bersuara


Share/Bookmark FORUM 'Memeluk Islam' yang dianjurkan Majlis Peguam Sabtu lalu, walaupun ditamatkan lebih awal, namun tetap menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam di negara ini.
Sikap angkuh dan degil majlis itu yang tetap meneruskan forum tersebut di sebalik pelbagai bantahan, menunjukkan mereka sedikit pun tidak mempunyai rasa hormat terhadap umat Islam di negara ini.


Malah atas nama kebebasan bersuara, Majlis Peguam mencetuskan provokasi dengan meneruskan forum bagi membincangkan isu berkaitan orang Islam yang nyaris berakhir dengan satu tragedi hitam.
Bayangkan apa akan jadi jika polis tidak bertindak menasihatkan supaya ia ditamatkan lebih awal? Sudah tentu akan berlaku pertelingkahan yang lebih serius dengan kesudahannya tidak dapat kita bayangkan.


Sebab itu, Majlis Peguam atau pemimpinnya wajar dikenakan tindakan kerana apa yang dilakukan itu boleh mencetuskan insiden perkauman yang membawa kepada situasi porak peranda dalam negara. Bunga-bunga ke arah itu jelas kelihatan Sabtu lalu apabila pemimpin serta penyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mula menyerbu ke dalam dewan mendesak forum itu dihentikan segera.

Sikap mahu menguji toleransi orang Islam dan kaum Melayu di negara oleh Majlis Peguam tidak boleh dibiarkan berterusan. Jika Majlis Peguam yang mana ahlinya tidak menggambarkan keadaan sebenar kedudukan kaum di negara ini mengatakan itu merupakan hak mereka untuk bersuara, maka kumpulan yang membantah forum itu juga mempunyai hak yang sama. Yang menjadi masalah sekarang ialah Majlis Peguam menggunakan kebebasan itu untuk melakukan provokasi dan bermain dengan isu sensitif membabitkan agama lain.

Sebagai satu badan yang dianggotai oleh peguam-peguam handal dan terkemuka, majlis itu tentu tentu sedar risiko apabila isu membabitkan sensitiviti agama dan kaum dibincangkan secara terbuka. Ini bukan kali pertama Majlis Peguam cuba menguji kesabaran dan toleransi orang Islam dan Melayu di negara ini.

Forum yang menyentuhkan hak istimewa orang Melayu sebelum ini juga turut mengundang kontroversi. Sebab itu pelbagai pihak terutama NGO Melayu dan Islam meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Majlis Peguam.
Jangan hanya kerana badan itu dianggotai oleh para peguam maka mereka boleh dibiarkan melakukan apa sahaja termasuk menghasut rakyat menggunakan isu kaum dan agama.

Seperti kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, saluran perundangan seperti Akta Hasutan boleh digunakan jika Majlis Peguam masih berdegil dan mahu meneruskan forum yang dilihat boleh membangkitkan kemarahan rakyat.
Perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama yang wujud di negara ini tidak boleh dibiarkan hancur di tangan kumpulan kecil yang kononnya mahu menegakkan kebebasan bersuara.

Share/Bookmark

No comments: