Sunday, August 3, 2008

Tan Sri Muhammad Ali Hashim


Share/Bookmark Pertama kali saya mendengar “Orang Kuat” Johor Corporation ini berucap adalah sewaktu beliau membentangkan kertas kerjanya di Persidangan Antarabangsa Peradaban Melayu III di Hotel Legend, Kuala Lumpur 17 bulan yang lalu. Saya turut sama menyertai persidangan yang berlangsung selama dua hari itu.

Sejak mendengar ucapan Tan Sri Muhammad Ali Hashim tersebut, rasa hormat dan kagum terhadap idealisme dan konsep korporat Islam yang ingin beliau terapkan dalam kalangan kakitangannya di JCorp semakin saya sokong dan dukung.

Sebelum ini, saya hanya mengenali beliau melalui buku-bukunya seperti Bisnes Satu Cabang Jihad dan lain-lain. Konsep seperti “Jihad Ekonomi” dan “Jihad Perniagaan” cukup sinonim dengan beliau. Sukar untuk menemui tokoh korporat yang berjiwa Islam dan mempunyai misi Islam yang sangat jelas dan tepat. Yang lebih menarik, beliau tidak hanya bercakap, sebaliknya turut mempraktikkan apa-apa yang telah beliau sampaikan.

Akhirnya, banyak yang saya pelajari daripada Tan Sri Ali Hashim ini, seorang guru, seorang sahabat dan seorang tokoh korporat yang sangat berjaya. Malaysia memerlukan tokoh korporat seperti beliau, yang berupaya membuktikan agama Allah dan sunah Rasul-Nya adalah sesuai untuk setiap zaman dan di mana-mana keadaan sekali pun. Antara pengajaran yang saya peroleh dengan beliau setelah beberapa kali saya bertemu dan berbincang dengannya, adalah seperti berikut:

*Jangan ikut teori ekonomi dan budaya korporat bangsa lain, sebaliknya orang Melayu jika ingin berjaya harus kembali kepada akar budaya kita dan agama kita sendiri, iaitu Islam.

*Bina budaya korporat cara Islam, kita pasti mampu mengalahkan perniagaan-perniagaan bangsa lain. Kita gagal kerana meninggalkan agama kita sendiri.
Membina organisasi perniagaan berasaskan kepada tanggungjawab, tanggungjawab kepada Tuhan, masyarakat, keluarga dan diri sendiri.

*Perniagaan Orang Melayu harus berasaskan kepada konsep “Jemaah” baru boleh berjaya dan maju. Jauhkan organisasi daripada sikap individualistik.

*Jangan mengamalkan pengurusan perniagaan melalui peminjaman budaya kerja bangsa lain. Ambil mana-mana yang secocok dengan Islam dan Sunah.

*Mengutamakan kepentingan ummah dan selalu bermusyawarah, kerana itu merupakan asas kejayaan sesebuah perniagaan.

*Jadikan ekonomi dan perniagaan sebagai satu cabang jihad dalam jiwa orang Melayu, InsyaAllah peniaga-peniaga Melayu akan bangkit menguasai ekonomi.


Ditulis Oleh MUHAMMAD AZLI SHUKRI


Share/Bookmark

1 comment:

Fairus Bakar said...

Malangnya orang hebat begini telah meletak jawatan sebagai CEO Johor Corporation dalam tempoh 24 jam akibat 'tekanan' oleh pihak kerajaan Johor(baca UMNO Johor).

Orang yang telah berjasa mengumpul aset lebih RM18 billion untuk JCorp/rakyat diperlakukan seperti sampah. Di antara jasa terbesar beliau adalah menjadikan sebahagian saham syarikat sebagai harta wakaf. Ini bertujuan bagi mengekalkan pegangannya oleh umat Islam. TS Muhd Ali tidak berminat meminta sebahagian saham menjadi milik peribadinya seperti banyak CEO lain. Dia hanya berusaha menjadikan ekuit syarikat terus berada di bawah pegangan dan hak umat Islam hingga hari kiamat melalui konsep Wakaf Korporat. Mungkin inilah 'dosa' terbesar beliau hingga ditekan sebegitu rupa.

Ini adalah satu malapetaka kepada rakyat Johor dan umat Islam Malaysia. Amat malang sekali mempunyai pemerintah yang takut kepada orang-orang amanah, baik dan jujur bagi mentadbir GLC.

Inilah realiti UMNO sekarang. They Just don't care.